KUALA LUMPUR / MANILA – Jepun menyediakan Malaysia dengan data cap jari abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam untuk siasatan kematiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada bulan lalu, kata sumber semalam.
Data tersebut diperoleh dari Jong-nam yang ditahan kerajaan Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 2001 kerana cuba memasuki negara itu dengan menggunakan pasport palsu.
Jong-nam memberitahu pihak berkuasa Jepun bahawa dia mahu melawat taman tema Disnerland di Tokyo.
Pendedahan tersebut merupakan bantuan pertama Jepun dalam siasatan membabitkan serangan beracun yang membawa kematian, yang mana kebanyakan negara percaya ia didalangi Korea Utara, lapor Kyodo News.
Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain juga dipercayai terlibat dalam siasatan itu atau memberi bantuan melindungi ahli keluarga yang khautir mereka menjadi sasaran seterusnya oleh rejim tersebut.
Indentiti mangsa merupakan antara perbalahan antara Malaysia dan Korea Utara, yang satu ketika dahulu mempunyai hubungan baik kini renggang akibat insiden itu.
Korea Utara merujuk mangsa sebagai Kim Chol, nama yang tertera pada pasport diplomatik yang berada bersama mangsa semasa kejadian. Negara itu juga menyatakan mangsa mati akibat serangan jantung.
Menurut sumber, berikutan daripada serangan di lapangan terbang itu, yang mana dua wanita menekup mangsa dengan agen saraf VX ke muka mangsa, pihak berkuasa Malaysia pada awalnya tidak mengenali Jong-nam dan menghubungi kedutaan Korea Selatan seblum memaklumkan kedutaan Korea Utara.
Jepun menawarkan data ciri-ciri fizikal Jong-nam, seperti cap jari dan gambar, kata mereka.
Maklumat tersebut dipercayai dapat membantu penyiasat Malaysia membuat kesimpulan terhadap identiti abang pemimpin Korea Utara itu.
Sumber itu berkata, pada 22 Februari Malaysia juga membuat pertanyaan kepada Jepun di mana anak Jong-nam, Kim Han Sol yang dipercayai menetap di Macau.
Han Sol dilihat sebagai saksi utama yang boleh mengenalpasti mayat mangsa dengan pihak berkuasa Malaysia cuba untuk mengumpul contoh DNA daripada ahli keluarga bagi memuktamadkan prosedur mengenalpasti mangsa.
Tanpa mendedahkan bagaimana identiti itu disahkan, dengan alasan ‘keselamatan’, Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan polis mengesahkan mayat tersebut adalah Kim Jong-nam pada Jumaat lalu. Seorang sumber polis berkata, contoh DNA diperoleh menerusi satu ‘cara khusus’.
Lokasi Han Sol dan ahli keluarga lain tidak diketahui tetapi video dalam talian yang disiarkan pada Rabu lalu menunjukkan seorang lelaki mendakwa sebagai Kim Han Sol dan berkata bapanya telah dibunuh.
Rakaman itu dimuatnaik menerusi laman sesawang YouTube oleh kumpulan dikenali, ‘Cheollima Civil Defence’, yang dikatakan telah melindungi keluarga Jong-nam.
Kumpulan itu berkata dalam satu kenyataan bahawa aktiviti mereka disokong oleh Belanda, China, AS dan negara-negara lain yang tidak mahu dikenali.
Berikutan kematian Jong-nam, terdapat kekhuatiran isu keselamatan terhadap anak lelaki mangsa yang menggelar pakciknya, Kim Jong-un sebagai seorang diktator semasa ditemubual dengan media sebelum ini.