KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak akan menutup kedutaan negara ini di Myanmar hanya kerana desakan beberapa pihak tertentu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tidak ada sebab kerajaan perlu menutup pejabat kedutaannya di negara itu kerana hubungan dua hala antara Malaysia dengan Myanmar masih kekal menerusi semangat solidariti ASEAN.
Katanya, jika langkah itu diambil berikutan peristiwa pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya, kerajaan tidak dapat membantu usaha Malaysia hendak mencari jalan penyelesaian yang berlaku di Myanmar.
“Tutup kedutaan kita di sana tidak akan menyelesaikan masalah. Malah ia akan membantu banyak perancangan kerajaan dalam usaha memastikan rakyat Rohingya tidak ditindas.
“Kita juga tidak akan mendapat maklumat sahih mengenai kejadian yang berlaku di negara itu dan keputusan kerajaan setakat ini ialah akan mengekalkan hubungan dua hala dengan kerajaan Myanmar,” katanya di Parlimen hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim atas usahanya menggerakkan misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar untuk memasuki Sittwe di wilayah Rakhine.
Kata beliau, selain Abdul Azeez, dua lagi Ahli Parlimen lain ikut serta iaitu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baharu-BN) dan Ahmad Marzuki Shaari (Bachok-Pas).
“Susulan misi kemanusiaan ini, Duta Malaysia ke Myanmar telah melawat ke perkampuangan dan kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya di Sittwe dan mengesahkan bantuan itu sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Reezal Merican memberitahu, selepas kejayaan pertama, kerajaan akan bekerjasama dengan kerajaan Myanmar untuk misi seterusnya bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan Myanmar yang dipimpin oleh pemimpin demokrasi, Aung San Suu Kyi diberi peluang mentadbir negara itu, yang turut mengumumkan operasi keselamatan sejak tragedi serangan telah pun dihentikan dan berada dalam keadaan stabil dengan perintah berkurung juga dilonggarkan.
Mengenai jumlah pelarian etnik Rohingya yang berada di negara ini, beliau menjelaskan, mengikut rekod diterimanya, terdapat kira-kira 56,000 orang.
Katanya, kerajaan juga menyambut baik permohonan Kelab Putera 1Malaysia yang mahu Malaysia mendapatkan kebenaran kerajaan Myanmar untuk misi bantuan kemanusiaan kedua pada Ramadan ini menggunakan jalan darat.
“Sudah tentu kita menyambut baik usaha ini dan kita akan menggunakan saluran diplomatik untuk mendapatkan kelulusan itu,” katanya. – MalaysiaGazette