Paul Low

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan kes tuduhan penyalahgunaan kuasa melibatkan Tan Sri Annuar Musa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, siasatan ke atas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) itu telah selesai dan pihaknya menunggu keputusan lanjut dari Timbalan pendakwa Raya.

Siasatan itu, katanya, melibatkan kes berhubung dana MARA yang dikatakan digunakan untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan seperti yang dilaporkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis MARA baru-baru ini.

Beliau berkata demikian di Parlimen hari ini, bagi menjawab soalan Mohamed Hanipa Maidin (PAN-Sepang) yang bertanyakan perkembangan terkini hasil siasatan SPRM ke atas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Paul juga berkata, siasatan itu tidak melibatkan saksi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Siasatan SPRM mendapati tidak ada asas untuk memanggil Tunku Ismail bagi memberikan keterangan kepada suruhanjaya itu.

“Ia sudah selesai dan kita tunggu tindakan lanjut dari pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Pada 31 Januari lalu, Ahli Majlis MARA menggantung tugas Annuar sebagai pengerusi agensi bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu susulan siasatan berhubung bayaran RM700,000 kepada pasukan The Red Warrior (TRW).

Ahli Majlis MARA mengadakan mesyuarat tergempar tanpa kehadiran mahupun pengetahuan Annuar selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan beberapa salinan dokumen bayaran menerusi laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Ketereh yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu didakwa menggunakan wang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebanyak RM500,000 pada Mei 2016 dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berjumlah RM200,000 pada Jun tahun yang sama untuk tujuan penajaan. – MalaysiaGazette