SIKAP Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang mengkritik agenda perkauman parti DAP ketika beliau berada dalam barisan kepimpinan UMNO kembali segar dalam ingatan kawan dan lawan yang mengenalinya.
Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 2011, Muhyiddin ada memberitahu supaya orang Melayu menjauhi DAP yang dianggap sebagai sebuah parti cauvinis yang rasis.
Ketika itu Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO mendakwa DAP sedang giat menarik orang Melayu menyertai DAP dan dijanjikan jawatan di dalam parti.
Menerusi sebuah video yang kini diviralkan kembali, Muhyiddin ketika berucap pada perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menegaskan agar orang Melayu perlu berwaspada dan tidak terpedaya dengan tipu helah DAP.
“Orang Melayu mesti berwaspada. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat DAP ini. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali untuk menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu.
“DAP mahukan orang Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekarang ini menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa.
“Janganlah jadi pembelot seperti si kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak tapi kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur,” katanya.
Didalam video berkenaan juga, Muhyiddin turut mendakwa DAP tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam serta orang Melayu di samping menyebarkan fitnah bagi menyemarakkan sentimen kebencian dalam masyarakat.
“Daripada soal kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, segala-galanya dipertikai dan cuba dirobek satu demi satu oleh parti DAP,” ujarnya.
Tambah beliau, kemenangan DAP bersama pembangkang menjuarai Selangor, Pulau Pinang serta Perak pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) seolah-olah memberi lesen untuk menyerlahkan sikap chauvanis dan rasis melampau DAP.
“Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengenepikan nilai sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam sebagai agama Persekutuan, semakin jelas kelihatan.
“Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan daripada kumpulan yang berniat jahat ini, DAP dan konco-konconya bertubi-tubi mempersendakan umat Islam.
“Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menyebarkan dakyah ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama,” katanya lagi.
Namun, apa yang diucapkan Muhyiddin itu menjadi sebaliknya apabila beliau kini berpaling tadah daripada perjuangannya dan bersatu bersama DAP didalam Pakatan Harapan.
Umum mengetahui beliau kini mengemudi parti baharu bersama Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Asalkan mencapai matlamat untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional, Muhyiddin sanggup membuat pusingan-U dengan parti yang pernah dianggap sebagai pemusnah agama dan bangsa itu.
Apa yang berlaku kepada Muhyiddin pada hari ini boleh diibaratkan seperti `orang yang bercakap tidak serupa bikin’. – MalaysiaGazette