Naib Presiden PAS, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas hari ini memaklumkan parti itu sedia membuka pintu untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Menurut Naib Presidennya, Idris Ahmad, parti itu membuka pintunya malah menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh suruhanjaya itu.

“Pas membuka pintu 25 jam sehari untuk siasat dakwaan Pas menerima RM 90 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low telah menyatakan SPRM telah meneliti atas tuduhan ini maka jawatankuasa penilaian mendapati maklumat diterima tidak jelas dan tiada unsur-unsur yang membolehkan siasatan dibuat.

“Pas bersetuju dengan SPRM yang mengalu-alukan sekiranya mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan dengan isu yang dibangkitkan ini hendaklah melaporkannya kepada pihak SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, tindakan saman terhadap portal Sarawak Report yang mendakwa kepimpinan tertinggi parti itu yang menerima RM90 juta daripada masih berjalan.

“Daripada awal lagi Pas nafi, namun musuh-musuh Pas tetap degil untuk menyebarkan fitnah ini terutama di kalangan masyarakat Cina supaya orang Cina jauh daripada Pas.

“Kerana orang Cina yang berniaga, mereka tidak boleh terima apabila PAS menerima wang daripada DS Najib di dalam keadaan perniagaan bertambah suram.

“Saman Pas kepada Sarawak Report sedang berjalan, begitu juga saman kepada Datuk Husam Musa sedang diteliti oleh pasukan peguam Pas.

“Mereka yang bermusuh dengan Pas perli, kenapa lambat sangat, saya jawab proses saman memang lambat, yang cepatnya bawa lari kerusi.

“Pas mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berikutan kenyataan beliau dalam satu ceramah mendakwa Pas menerima RM90 juta daripada UMNO sebagaimana yang didedahkan Sarawak Report,”katamya.

Malah Husam turut mendakwa mereka terbabit menerima dana yang disalurkan melalui Affin Bank.Bagaimanapun perkära itu dinafikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan ia fitnah jahat.

“Pas akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report.

“Pihak guaman Pas diminta meneliti kenyataan dan tuduhan jahat ini dan mengemukakan saman fitnah dalam masa terdekat,” jelas Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast