Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak bercadang menetapkan ikan kembung pada harga siling kerana kenaikan harga dipasaran masa kini bersifat sementara.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kenaikan harga ikan kembung atau lebih dikenali sebagai ikan rakyat disebabkan musim tengkujuh yang menyukarkan nelayan turun ke laut.

Kata beliau, nelayan mengambil langkah berhati-hati ketika menangkap ikan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan membahayakan mereka.

“Harga ikan kembung mahal sekarang disebabkan faktor cuaca. Sekarang ini masih dalam musim tengkujuh yang dijangka berakhir awal bulan depan.

“Apabila keadaan cuaca baik nanti, harga ikan kembung ini akan turun seperti biasa,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas rungutan orang ramai terutama suri rumah berhubung harga ikan kembung yang mahal sehingga tiga kali ganda daripada harga sebelum ini.

Ahmad Shabery berkata, kementeriannya sentiasa mengawal bekalan ikan kembung dengan melarang dieksport ke luar negara pada musim perayaan.

“Kita akan kawal pengeluaran ikan kembung seperti larangan eksport dalam tempoh tiga bulan sepanjang musim perayaan,” katanya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast