Jamal Md Yunos. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO, Datuk Seri Jamal Yunos mendesak supaya Kerajaan Selangor memperluaskan pemberian dana d ibawah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) ke negeri-negeri lain selepas pengakuan wakil rakyat Kuala Lumpur menerima dana tersebut.

Jamal berkata tidak adil jika dana tersebut hanya diberikan kepada Ahli Parlimen di Kuala Lumpur memandangkan ramai lagi rakyat Selangor yang menetap di luar.

“Kalau ini (pemberian dana) dikatakan untuk memudahkan, ramai lagi rakyat Selangor yang duduk di negeri lain.

“Kalau begini dana YAWAS ini kena diperluaskan ke seluruh negeri lain kerana ramai rakyat Selangor yang memerlukan dana ini,” kata Jamal dalam sidang media di pejabatnya, Ampang hari ini.

Dalam pada itu berhubung Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang disalurkan bawah YAWAS, Jamal mendakwa terdapat pembayaran tertunggak yang belum dibuat kepada pemohon dalam kawasan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok walaupun sudah menghantar lengkap dokumen si mati.

“Bagaimanapun, setakat ini ada 7 kes yang sudah lebih 83 hari tapi masih belum mereka ini yang belum mendapat bayaran RM1,000 seperti beliau (Teresa) sebutkan,” katanya.

Jamal turut mendakwa memiliki butiran lengkap pemohon yang mendaftar itu tapi merahsiakannya bagi menjaga maklumat individu tersebut.

Malahan, mengikut rekod diperolehinya, terdapat 55 orang yang belum menerima bayaran RM1,000 untuk tempoh dua tahun walaupun sudah membuat permohonan di kawasan Seputeh.

Selain itu, Jamal juga mendakwa pemberian dana tersebut memilih bulu apabila penyokong UMNO dinafikan hak mereka untuk mendapat bayaran sama seperti diberikan kepada rakyat Selangor lain.

“Kalau seseorang itu orang UMNO mereka tidak dapat, jadi Kerajaan Selangor ini Kerajaan parti bukan untuk rakyat Selangor,” katanya.

Mengenai saman yang ingin dibuat Teresa, Jamal berkata, beliau akan mengadakan satu majlis besar-besaran untuk menyambut surat saman sebagai mengalu-alukan ugutan tersebut.

“Saya akan buat satu majlis untuk menyambut saman itu,” katanya lagi.

Jamal sebelum ini mendakwa Teresa berbohong serta hipokrit kerana tidak mengaku telah menggunakan wang hampir RM2 juta sejak 2016 sehingga 24 Februari 2017.

Menurut Jamal, wang tersebut dikeluarkan melalui kad ATM Ambank atas nama Teresa sendiri. – MalaysiaGazette