Petroliam menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. berjaya menghantar gas asli cecair (LNG) ke South Korean Oil Refining Company (S-Oil Corporation).

KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM23.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, meningkat RM20.9 bilion tempoh sama sebelumnya.

Syarikat minyak dan gas negara itu berkata, pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan 2016 didorong oleh perbelanjaan operasi yang lebih rendah serta pembayaran cukai yang merosot disebabkan oleh purata harga minyak yang lebih murah.

Bagi tempoh dalam kajian, perolehan kumpulan Petronas jatuh 17 peratus kepada RM204.9 bilion berbanding RM247.7 bilion pada 2015.

Penurunan tersebut disebabkan oleh kejatuhan harga purata minyak sejajar dengan trend penanda aras utama harga seperti Brent, Japan Customs Cleared Crude selain turut didorong oleh kesan jumlah jualan yang turut merosot.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan nilai dan pelunasan hutang (EBITDA) adalah RM70.4 bilion berbanding RM75.5 bilion yang dicatatkan pada 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi kumpulan turut menyusut kepada RM53.8 bilion pada 2016 berbanding RM69.6 bilion pada 2016 disebabkan oleh harga purata minyak yang lebih rendah bagaimanapun ia telah diseimbangkan oleh pembayaran cukai yang rendah.
Menyentuh mengenai prestasi kewangan pada 2016, Petronas berkata, keputusan-keputusan tersebut menunjukkan peningkatan meskipun terpaksa berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar.-MalaysiaGazette