MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan parah akibatnya pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera ibunya di rumahnya di Sungai Petai, Alor Gajah, di sini semalam.
Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mendakwa kononnya diserang sawan sebelum meninggalkannya di situ.
Menurut sumber, bayi berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Melaka tengah malam tadi sebelum doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit.
“Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera dan bayi berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
“Bertindak hasil maklumat, polis ke rumah ibunya di Sungai Petai, Alor Gajah sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 7.30 malam tadi,” katanya.
Sementara itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan pengesahan kes daripada Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sumber berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette
















