Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Satu lagi parti politik baharu mungkin ditubuhkan dan kali ini dipelopori oleh bekas senator, Datuk Ezam Mohd. Nor.

Selain Ezam, bekas bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan juga berminat dengan parti yang sama.

Parti itu berkonsep objektif tunggal iaitu mahu memerangi rasuah dan ia kononnya seperti konsep green party seperti yang terdapat di luar negara.

“Saya amat mengalu-alukan hasrat Ezam untuk tubuh sebuah parti politik baharu untuk lawan rasuah di tanahair tercinta ini,” kata Khairuddin seperti dilaporkan sebuah blog hari ini.

Ezam sebelum ini menerusi kenyataan kepada satu portal melahirkan hasrat menubuhkan parti baharu itu dan bercita-cita besar mahu melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

“Sekiranya parti baharu yang bakal ditubuhkan ini akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) dan PH boleh terima sebagai sebahagian daripada pakatannya, saya cukup berminat untuk menjadi salah seorang dari pengasasnya,” tambah Khairuddin lagi.

Ezam dan Khairuddin sebelum ini merupakan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ezam kini mengetuai satu NGO yang menentang amalan rasuah dikenali sebagai Hisbah.

Persoalannya, kenapa perlu parti politik baharu? Adakah parti-parti pembangkang sedia ada tidak cukup kuat membawa mesej menentang rasuah selama ini?

Paling utama sama ada ia diterima oleh parti-parti lain sedia ada dalam PH.

Cukuplah dengan beban kehadiran PPBM dan Parti Amanah Negara yang sudah memeningkan kepala PH untuk berkongsi kerusi menentang Barisan Nasional pada PRU-14 kelak.-MalaysiaGazette