Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (berdiri, tengah) diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (berdiri, enam kiri) turut serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (berdiri, lima kiri) dan Pengerusi Eksekutif Impianika Development Sdn. Bhd., Datuk Seri Jeff B. K. Lee (berdiri, dua kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian penerima kunci 1Razak Mansion di Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Penduduk asal perumahan flat Razak Mansion rasa bersyukur kerana permintaan mereka untuk mendapatkan kediaman lebih selesa di ibu kota telah ditunaikan kerajaan.

Hari ini, seramai 658 penduduk asal mendapat kunci perumahan yang ditukar nama menjadi Perumahan Awam 1Razak Mansion oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rata-rata mereka merupakan penduduk asal kawasan flat di Jalan Sungai Besi yang dikatakan antara terawal dibina di ibu kota itu kira-kira 20 tahun yang lalu.

Sebahagian besar penduduk gembira dengan penyerahan kunci berkenaan yang menandakan permulaan hidup baharu mereka.

Penerima rumah 1Razak Mansion, Abdul Razak Mohd Isa menunjukkan replika kunci rumah yang diterimanya pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion di 1Razak Mansion, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2017.
Penerima rumah 1Razak Mansion, Abdul Razak Mohd Isa menunjukkan replika kunci rumah yang diterimanya pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion di 1Razak Mansion, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2017.

Salah seorang penduduk, Abdul Razak Mohd. Isa, 68, berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi membina semula rumah yang sudah dua dekad didudukinya.

“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana memperbaharui Razak Mansion ini dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Saya duduk sini sudah 20 tahun dan saya nampak yang baharu ini lebih selesa. Faktor keselamatan pun sudah ada untuk jaga kami penghuni di sini.

“Dengan adanya rumah baharu ini menyenangkan hidup saya selaku warga emas,” katanya selepas menerima kunci rumah di sini petang tadi.

Penerima rumah 1Razak Mansion, Wong Seng Oi menunjukkan replika kunci rumah yang diterimanya pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion di 1Razak Mansion, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2017.
Penerima rumah 1Razak Mansion, Wong Seng Oi menunjukkan replika kunci rumah yang diterimanya pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion di 1Razak Mansion, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2017.

Turut menerima kunci hari ini adalah Wong Seng Oi , 52, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

Memandang keadaan beliau yang berkerusi roda, Seng Oi amat menghargai pemberian kerajaan terhadap beliau sekeluarga.

“Memang baguslah pembaharuan yang dibuat di 1Razak Mansion ini kerana saya adalah golongan OKU sebab ada lif untuk saya turun naik ke rumah baharu saya. Malah ada pengawal keselamatan yang jaga kawasan ini.

“Saiz rumah pun sudah bertambah 60 peratus jadi saya akan lebih selesa dan kawasan ini adalah penghuni lama, jadi tidak timbul perasaan terasing disini,” katanya.

Projek pembinaan semula itu bermula pada Disember 2014 dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu dengan sembilan bulan lebih awal daripada jangkaan.

Setiap penduduk mendapat sebuah unit pangsapuri baharu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi.

Bangunan asal Razak Mansion dibina pada tahun 1963 dan apabila siap ia telah dirasmikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak empat tahun kemudiannya.

Pembangunan semula flat Razak Mansion kepada taraf apartmen menelan kos RM150 juta dan pemilik asal mendapat gantirugi menerusi pemilikan satu unit setiap seorang bagi bangunan baharu itu.

Unit apartmen ganti dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu seramai 557 pemilik yang mempunyai Perjanjian Jual Beli dengan Dewan Bandaraya manakala 101 unit disewakan oleh pihak berkuasa tempatan itu,- MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast