Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada Majlis Malaysia Economic Challanges and Policy Implication di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 16 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) tidak akan mengambil alih 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, hutang yang kekal di dalam imbang kira 1MDB adalah sukuk sebanyak RM5bilion, bon AS$3 bilion dan dua peringkat bon bernilai AS$1.75 bilion.

“Hutang-hutang 1MDB dibayar daripada aliran tunai yang berpadanan seperti mana yang diterangkan di dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Meskipun MoF Inc. tidak mengambil alih hutang-hutang 1MDB, sokongan dan jaminan kerajaan masih kekal sebagaimana yang diterangkan di dalam laporan PAC,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Johari, wakil rakyat pembangkang, Tony Pua yang merupakan salah seorang daripada ahli PAC seharusnya memahami fakta-fakta berhubung 1MDB.

Menurut Johari, hutang operasi Bandar Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) dan TRX City Sdn. Bhd. (TRXC) yang merupakan aset dan liabiliti syarikat akan dibayar oleh aliran tunai projek tersebut.

Tambahnya, tanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia pada asalnya dimiliki oleh kerajaan secara langsung.

Berdasarkan laporan PAC, kerajaan membuat keputusan untuk menjual tanah tersebut pada tahun 2010 dan 2013 kepada 1MDB, sebuah syarikat pelaburan yang 100 peratus dimiliki oleh kerajaan.

1MDB kemudiannya memiliki tanah-tanah tersebut melalui 100 peratus pegangan ekuiti di dalam dua anak syarikat iaitu TRXC dan BMSB.

“Urusniaga tersebut jelas menunjukkan pemilikan kerajaan terhadap tanah-tanah tersebut telah bertukar daripada pemilikan langsung kepada pemilikan tidak langsung melalui MoF Inc menerusi 1MDB dan anak-anak syarikatnya.-MalaysiaGazette