Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Negara Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Rakyat.

Mesyuarat berkenaan membentangkan malah membincangkan kepentingan dasar wasatiyyah dalam menghadapi cabaran semasa Malaysia.

Mesyuarat yang sama juga turut merencanakan perspektif masa hadapan berikutan pelbagai isu berbangkit yang mampu menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Wasatiyyah Malaysia, mesyuarat yang sama turut membentangkan analisis persekitaran pelbagai aspek berkaitan.

Antaranya cabaran semasa melibatkan perpaduan dan integrasi nasional, ancaman pemikiran ekstremisme dan liberalisme, persepsi dan publisiti negatif terhadap Islam dan eksploitasi ilmu yang dibentangkan oleh Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd. Yusof Din.

Turut dilancarkan ialah Kit Wasatiyyah oleh Perdana Menteri yang merupakan bahan promosi utama dalam merakyatkan pendekatan wasatiyyah dalam kehidupan masyarakat.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ia berlangsung kira-kira 30 minit di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Utama Parlimen kira-kira jam 3.40 petang tadi. -MalaysiaGazette.