Mohd Isa Samad

JEMPOL – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menyasarkan pertumbuhan kadar perahan minyak (OER) mencapai purata 22 peratus menjelang 2020, berbanding 20.73 peratus tahun lepas.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, ini sekaligus dapat membantu meningkatkan pendapatan peneroka dan pekebun kecil.

“Bagi mencapai sasaran OER, kualiti buah tandan segar (BTS) yang dibekalkan ke kilang-kilang untuk diproses perlu ditingkatkan.

“Sebab itu, kempen meningkatkan kualiti BTS giat dijalankan di seluruh negara, untuk memberi pemahaman kepada pengurusan ladang, peneroka dan pekebun kecil dari aspek penanaman dan (pemilihan) benih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Meningkatkan Kualiti BTS Peringkat Nasional 2017, di Felda Serting Hilir, dekat sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad.

Mohd Isa berkata, kempen itu juga bertujuan untuk mendidik peneroka dan pekebun kecil agar tidak menghantar buah tandan muda, kerana ia bukan sahaja merugikan pihak FGV dan kilang, tetapi juga peneroka sendiri.

“Kita nak elak buah tandan muda kerana ia tidak boleh diproses. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak membenarkan buah tandan muda diproses, dan jika diproses, minyaknya sedikit.

“Tahun lepas, FGV rugi RM80 juta kerana peneroka menghantar buah tandan muda yang tidak boleh diproses,” katanya.

Sementara itu, Zakaria dalam ucapannya berkata, penerangan mengenai kualiti BTS sangat penting kerana terdapat banyak kekeliruan tentang cara penggredan dan harga yang dibayar.

“Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kualiti BTS terjejas termasuklah buah mengkal, busuk dan sebagainya.

“Kami sentiasa komited untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan pihak pembekal bagi memastikan kualiti BTS yang terbaik dan pada masa sama meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Kempen kali ini dilancarkan serentak di seluruh negara, bertemakan “BTS Berkualiti, Pulangan Tertinggi”, bertujuan untuk menggalakkan semua pembekal BTS berusaha mencapai kualiti yang ditetapkan iaitu 100 peratus masak dan selaras dengan Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit MPOB.

Pembekal BTS juga diberi penerangan mengenai sistem penggredan, faktor-faktor yang menyebabkan hasil dikenakan penalti serta peranan Jawatankuasa Permuafakatan Peningkatan Kualiti dalam menentukan kualiti BTS. -MalaysiaGazette