Eric Paulsen

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Persekutuan membuat keputusan tepat dengan menolak dua permohonan, masing-masing daripada ibu bapa angkat dan seorang bapa kandung untuk  mendapatkan kewarganegaraan dua ‘anak’ mereka.

Bagi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), keputusan itu dibuat mengikut prosedur dan dasar yang betul oleh mahkamah rayuan berkenaan dan selaras Perkara 15(2) Perlembagaan.

Menurut Pengerusi Biro Perlembagaan, Undang-Undang, Tanah Rizab Melayu dan Tanah Adat Perkasa, Azmi Rais, kes Than Siew Beng dan Lim Jian Sian wajar ditolak kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya, tindakan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mengkritik keputusan itu dianggap sebagai tuduhan liar dan satu penghinaan kepada mahkamah.

“Kritikan Eric terhadap dasar kerakyatan kerajaan yang disifatkannya sebagai meletakkan beban hampir mustahil bagi anak-anak tersebut membuktikan mereka bukan rakyat negara lain, walaupun mereka lahir di Malaysia adalah satu penghinaan terhadap mahkamah.

“Tuduhan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara kurang prihatin dalam hal rakyat yang tiada kewarganegaraan dan mendakwa permohonan itu akan akhirnya ditolak walaupun berulang kali ke JPN juga merupakan satu tuduhan liar, sedangkan sudah banyak kerajaan selesaikan kes kewarganegaraan sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak dua permohonan berasingan, yang pertama oleh ibu bapa angkat dan kedua, oleh seorang bapa kandung yang memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberikan kewarganegaraan kepada ‘anak-anak’ mereka.

Panel tiga hakim itu memutuskan, walaupun budak lelaki berkenaan dilahirkan di Malaysia, adalah perlu bagi pemohon membuktikan kanak-kanak itu bukan tanpa kerakyatan atau warganegara lain.

Pemohon juga perlu membuktikan berdasarkan prinsip jus soli (kewarganegaraan hak lahir) dan jus sanguinis yang mana kewarganegaraan bukan ditentukan oleh tempat lahir, tetapi mempunyai satu atau kedua-dua ibu bapa rakyat negara itu.

Kata Azmi, pemahaman undang-undang Eric masih tidak sempurna sepenuhnya kerana jelas di bawah undang-undang, bukan sahaja bukti lahir (jus soli) perlu dibuktikan, tetapi persoalan pada susur galur keturunan (jus sanguinis) anak-anak perlu juga dibuktikan.

“Dalam kes Than Siew Beng, pemohonan dibuat ayah ibu angkat, bukan oleh salah seorang ibu atau ayah kandung yang berwarganegara Malaysia, manakala kes Lim Jian Hsian pula, anak tersebut adalah anak luar nikah (ibu Thai) walaupun permohonannya telah dibuat oleh ayahnya.

“Dalam kedua-dua kes ini, ianya tidak memenuhi keperluan prinsip jus sanguinis. Oleh itu, wajar permohonan mereka ditolak,” katanya yang menghormati peranan mahkamah dalam mempertahankan Perkara 15(2) Perlembagaan iaitu taraf kewarganegaraan permohonan anak warga bawah 21 tahun untuk menjadi warganegara.

Kata Azmi, sekiranya mahkamah membenarkan kedua-dua kes tersebut, ia akan membuka ruang luas yang membenarkan kewarganegaraan diberi kepada individu, yang mana asal dan status keturunannya dipersoalkan.

“Perkasa ingin mengingatkan kerajaan supaya menolak desakan pihak tertentu untuk melonggarkan syarat jus sanguinis kerana ianya akan mendatangkan kemudaratan kepada kesejahteraan rakyat Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette