Mayat mangsa terakhir Muhammad Aiman Kamarul Ariffin ditemukan pada 1.15 petang.
HULU SELANGOR – Mayat terakhir pelajar yang lemas di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, ditemui jam 1.15 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata, mayat Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, yang lengkap berpakaian dijumpai orang awam di tebing sungai itu kira-kira 8 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemukan di luar skop pencarian lima kilometer radius,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, proses pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh abangnya yang berumur 21 tahun dan mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

Terdahulu, pada 10.20 pagi tadi mayat rakan mangsa Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, ditemukan di tebing sungai kira-kira tiga kilometer dari pusat SAR.

Supramaniam berkata, susulan penemuan mayat terakhir itu, pusat SAR di Kampung Timah, di sini, ditutup pada 2.30 petang.

Sementara itu, difahamkan jenazah Muhammad Aiman dan Muhammad Ikhwan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, di sini.

Operasi hari ketiga itu disertai oleh 115 anggota dan pegawai termasuk orang awam dengan menggunakan lima aset bot Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat lepas, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala tujuh lagi ditemukan lemas.

Selain Muhammad Aiman dan Muhammad Ikhwan, lima mangsa lain ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12. – MalaysiaGazette