KUALA LUMPUR – Olympia Industries Berhad sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berhubung pelupusan kepentingan ekuiti dalam Jupiter Securities Sdn. Bhd.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, Olympia mengesahkan lembaga pengarah syarikat itu merancang untuk menjual kepentingannya dalam Jupiter Securities.

“Olympia akan membuat pengumuman selepas terma pelupusan cadangan dimuktamadkan,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, CIMB Group berminat untuk membeli kepentingan Jupiter Securities pada harga lebih RM50 juta sebagai sebahagian daripada transaksi korporat yang lebih besar untuk memudahkan kerjasama dengan China Galaxy.

CIMB menyasar memperoleh Jupiter Securities untuk mendapatkan lesen tambahan untuk perniagaan pembrokeran stok, yang akhirnya akan bergabung dengan China Galaxy Securities sebagai sebahagian daripada langkah yang lebih luas untuk mengembangkan capaiannya dan mengurangkan kos

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, CIMB Group berkata, entiti itu telah menjalinkan kerjasama startegik pada Oktober tahun lalu dengan China Galaxy Securities International Financial Holdings, anak syarikat China galaxy Securities Ltd. dalam perniagaan ekuiti tunai.

Ia membabitkan pembrokeran runcit, penyelidikan ekuiti dan perniagaan berkaitan sekuriti.

“CIMB akan membuat pengumuman sekiranya ada pembangunan material berhubung perkara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette