Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama pada Forum Transfomasi Global 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, seorang bekas pemimpin negara telah berbohong dengan menyatakan Malaysia bankrap menyebabkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hampir gagal untuk mendapat pelaburan daripada Saudi Aramco.

Perdana Menteri berkata, ekonomi Malaysia telah disabotaj demi kepentingan diri dan politik.

Menurut Najib, pelaburan Saudi Aramco dalam projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) hampir musnah disebabkan berita palsu itu.

“Ramai mungkin tidak menyangka seorang bekas pemimpin telah berbohong mengenai negaranya sendiri. Jadi, apabila dia memberitahu Malaysia sedang bankrap, segelintir mempercayainya.

“Hakikatnya, dia tahu dia bercakap bohong.

“Sekali lagi, saya ingin bertanya, adakah Saudi Aramco akan membuat pelaburan terbesarnya di Malaysia jika negara ini bankrap?

“Saya bertanyakan soalan ini kerana seperti yang anda tahu, terlalu banyak berita bohong sejak kebelakangan ini,” katanya ketika berucap di Forum Transformasi Global di sini hari ini.

Malangnya, kata Perdana Menteri, parti-parti pembangkang di Malaysia tidak mahu bertanyakan kepada kerajaan tentang fakta sebaliknya mewujudkan propaganda palsu termasuk idea negara bankrap.

Sedihnya, tambah beliau, berita-berita palsu itu bertujuan untuk menarik perhatian dunia antarabangsa.

Tindakan itu ternyata tidak merugikan parti-parti politik pembangkang tetapi yang sengsara adalah rakyat, katanya.

Jelas Najib, pembabitan Saudi Aramco dalam projek PIC dan pelaburan sebanyak AS$7 bilion membuktikan syarikat minyak milik Arab Saudi itu yakin terhadap Malaysia.

“Kerjasama (Petronas-Saudi Aramco) bukan sahaja untuk mengukuhkan enjin pertumbuhan dan berada di hadapan dalam pembangunan ekonomi dan teknologi tetapi mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

“PIC akan menjadi enjin pertumbuhan besar dalam salah satu lalun perkapalan tersibuk dan pintu ke Asia Pasifik. Ia akan mewujudkan latihan dan pekerjaan kepada rakyat tempatan, menerajui pembangunan industri tambahan, merangsang keusahawanan dan modal insan serta ekonomi pengetahuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast