KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) sedang berunding dengan beberapa syarikat termasuk firma China untuk mewujudkan kerjasama meluaskan rangkaian pengagihan dan kemudahan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, entiti sedang meneroka kerjasama berbanding pelabur.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nama syarikat terlibat.
Sejak kebelakangan ini, media tempatan melaporkan China National Cereals, Oils and Foodstuffs Corporation (COFCO) dan entiti milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mahu membeli kepentingan FGV.
“Kami sedang melibat rakan kongsi perniagaan bagi jangka panjang. Sekiranya rakan itu mahu membeli saham di pasaran terbuka, tidak ada apa yang boleh saya lakukan,” katanya.
Tambahnya, FGV sedang berunding dengan beberapa syarikat China tetapi ia juga mengintai peluang syarikat India, Asia Barat dan Afrika Utara.
“Kami sedang melihat bagaimana kita boleh mengagihkan produk-produk. Bagaimana kita dapat mewujudkan kemudahan negara-negara pengguna.
“FGV mahu rakan kongsi untuk melabur, membina tangki sebagai contohnya. Kami mahu melabur dan berkembang bersama,” katanya.
Kerjasama itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi. – MalaysiaGazette