Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berjanji akan memberikan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang boleh membuktikan bahawa Penasihat DAP Lim Kit Siang adalah seorang yang rasis, anti Islam dan diktator.

Satu pertandingan di media sosial dianjurkan Ahli Parlimen Ketereh itu sehingga penghujung Mei ini.

“Saya bercadang untuk buat satu pertandingan dan boleh menyediakan hadiah kepada sesiapa yang boleh buat IG (Instagram) ataupun penulisan dalam blog ataupun apa-apa bentuk yang bertajuk Lim Kit Siang selalu dikatakan rasis, anti-Islam dan 51 tahun diktator, adakah benar,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini di Dewan Rakyat.

Semalam, Kit Siang menggelarkan Annuar sebagai bapa rasis ketika ditanya samada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar.

Mengulas lanjut Annuar berkata beliau serius dengan tindakannya itu dalam usaha untuk mengumpul bahan daripada orang ramai berkaitan perkara itu.

“Mungkin orang boleh buat kajian ucapan beliau di Parlimen, dan bahan-bahannya terdapat di merata-rata tempat. Tujuan saya buat buat pertandingan ini untuk dapat bahan daripada orang ramai yang ada kaitannya dengan apa yang saya tuduh kepada beliau,” katanya lagi.

Sebarang penyertaan di media sosial dan blog boleh dihantarkan ke pejabatnya di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum 30 Mei depan. -MalaysiaGazette.