Abdul Shukur (kiri, belakang) dan Sohaimi (kanan, belakang) menyaksikan MoU yang ditandatangani wakil masing-masing iaitu Rohaizat (kiri) dari FTC dan Razali (kanan) dari AWFATECH).

KUALA LUMPUR – FELCRA Training & Consultancy (FTC) menjalin kerjasama strategik dengan Awfatech Global Sdn. Bhd. (AWFATECH) bagi menerapkan ilmu pengetahuan berkaitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Menurut Pengerusi FTC, Datuk Abdul Shukur Idrus, kerjasama itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya melalui Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, dengan perjanjian persefahaman (MoU) itu, FTC akan menjadi pusat sehenti kepada Desa ICT Maya dalam menyediakan latihan dan pembangunan kepada generasi kedua luar bandar khususnya di bidang keusahawanan.

“Desa ICT Maya ini akan menjadikan pusat sehenti untuk melaksanakan latihan berasaskan e-digital ekonomi seperti pelaksanaan program dalam talian iaitu dalam bidang pemasaran dan pembangunan produk.

“Projek ini akan dilaksanakan dengan memberi impak maksima melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Kita perlu mempunyai strategi seperti untuk menjadikan dunia globalisasi sebagai peluang kepada masyarakat luar bandar sebagai sumber ekonomi,” katanya pada majlis MoU antara FTC dan AWFATECH di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi AFWATECH, Datuk Sohaimi Shahadan.

Pada majlis itu, FTC diwakili Pengarah Urusannya, Rohaizat Ahmad, manakala AWFATECH diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Razali Ahmad.

Sementara itu, Sohaimi ketika ditemui, menyifatkan MoU itu sebagai satu kepercayaan tinggi FTC kepada AFWATECH bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkat penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Saya percaya melalui program ini, kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang lebih berdaya saing, sekali gus menguasai pasaran di peringkat global,” katanya. – MalaysiaGazette