GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kewujudan kartel beras seperti yang sering dibangkitkan banyak pihak.

Sebaliknya, Setiausaha Akhbar KPKM, Adeysham Nor berkata, entiti yang diberikan kuasa serta peranan untuk menyiasat kewujudan ‘kartel’ adalah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Maka, disebabkan itu, ujarnya, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dakwaan ‘kartel beras’.

Setiausaha Akhbar KPKM, Adeysham Nor.

Sebaliknya, tambah beliau, bidang kuasa Mohamad adalah berpandukan kepada Akta 522 (Kawalselia Padi Beras), justeru beliau hanya boleh mengulas atau memberikan pandangan dalam ruang lingkup akta tersebut sahaja.

“Harap jawapan ini dapat menerangkan konsep ‘separation of power’ dan ‘punca kuasa’ dalam pentadbiran Kementerian,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Menurut Adeysham, dari siasatan KPKM, isu pencampuran beras mula diperkatakan apabila struktur harga dalam rantaian pengeluaran beras tidak lagi seimbang antara pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit.

Ujarnya, apabila India mengenakan sekatan terhadap eksport beras, harga beras dunia turut melonjak, selari dengan asas konsep penawaran dan permintaan dalam ekonomi yang mana apabila penawaran menurun dan permintaan naik, maka harga akan naik.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan pengilang beras mula bersaing membeli padi tempatan sehingga harga belian padi naik sehingga RM2,000 per tan.

Situasi itu juga, katanya, menguntungkan pesawah tempatan, tetapi dalam masa yang sama meningkatkan kos pengeluaran beras putih tempatan (BPT).

“Adalah tidak adil jika kita nak biarkan pesawah terus dipaksa menjual padi dengan harga yang rendah.

“Keadaan akan jadi lebih buruk jika pesawah tidak lagi berminat nak menanam padi. Sudahlah sejak 30 tahun ini, SSR (kadar sara diri) beras kita terus menurun setiap tahun. Sampai bila kita nak bergantung pada beras import?” katanya.

Tambah beliau, apabila harga belian padi tempatan telah mencecah purata RM1,800 per tan, maka harga BPT akan menjadi sekitar RM38 per 10 kilogram (kg).

Katanya, oleh kerana harga BPT masih dikawal pada harga RM26 per 10kg, maka berlakulah aktiviti BPT dicampurkan dengan BPI dan dijual dalam kampit BPI pada harga RM38 per kampit 10kg.

“Bila kita semak dalam Akta 522 untuk mengambil tindakan, tiada peruntukan yang jelas tentang larangan pencampuran beras. Rupa-rupanya pencampuran beras ini sudah jadi amalan sejak tahun 70an lagi dan disahkan oleh kajian umum MyCC,” katanya.

Berhubung polemik sama ada mahu membenarkan atau melarang pencampuran beras, tambah beliau, perlu ada kaedah untuk mengenal pasti jenis beras yang ada dalam kampit beras yang dijual.

Disebabkan itu, katanya, KPKM mengarahkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan teknologi untuk mengenal pasti jenis beras supaya aktiviti penguatkuasaan dapat diperkemaskan.

“Bila MARDI keluarkan hasil kajian mereka, rakyat Malaysia patut gembira kerana sudah ada teknologi untuk mengenalpasti jenis beras yang dijual di negara ini.

“Teknologi ini sangat penting untuk memandu kita dalam mengkaji Akta 522 supaya dapat diperkemaskan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast