KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi mengumumkan dia sedang hamil hasil perkahwinan ketiganya dengan wartawan Harakah, Muhammad Faizal Zakari.
Berita itu diumumkan Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abd Manan, 40, di laman sosial Instagram miliknya.
Kata Abby, dia pada mulanya risau untuk berkongsi berita gembira itu memandangkan usia kandungannya masih lagi baharu namun mengambilnya sebagai perkara yang positif.
Dia juga berharap dikurniakan anak kembar dan memohon peminatnya mendoakan kesihatan dan bayi yang dikandungnya kerana sudah lama tidak ‘membawa’ perut.
Abby dan Faizal mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015.
Abby pernah keguguran ketika menunaikan ibadah umrah bersama suaminya pada tahun lalu.
Terdahulu, Abby mendirikan rumah tangga dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim yang berusia sembilan tahun.
Mereka bercerai pada tahun 2008. Abby seterusnya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada tahun 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga. – Malaysia