Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak membenarkan sebuah kapal arang batu Korea Utara memasuki pelabuhan Pulau Pinang kerana dipercayai melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Seorang pekerja pelabuhan dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberitahu Reuters, kapal Kum Ya membawa 6,300 metrik tan arang batu antrasit.

Kapal tersebut akhirnya dibenarkan berlabuh dengan sepasukan penyiasat yang diiringi pegawal bersenjata menaiki kapal berkenaan.

Pada Disember 2016, Majlis Keselamatan PBB meletakkan halangan terhadap eksport arang batu Korea Utara dan menggesa ahli-ahli untuk mengenakan pemeriksaan lebih ketat terhadap kapal-kapal dari negara tersebut.

Pengeluaran arang batu di Korea Utara adalah kawalan negara dan pengeksportannya merupakan sumber utama pendapatan negara yang terasing itu.

“Kapal Korea Utara itu pada asalnya dihalang daripada memasuki Pelabuhan Pulau Pinang disebabkan terdapat kemungkinan berlakunya pelanggaran sekatan PBB,” kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Zulkifli Abu Bakar mengesahkan perkara tersebut kepada Reuters tanpa memberi butiran lanjut.

Menurut Reuters, APMM bagaimanapun mengesahkan kapal tersebut dihalang untuk berlabuh berikutan arahan daripada Kementerian Luar.

Ini selari dengan kenyataan yang dibuat oleh pekerja pelabuhan kepada Reuters yang mengatakan Kementerian Luar Malaysia mengarahkan para pegawai di Pelabuhan Pulau Pinang untuk menghalang kapal tersebut berlabuh sebelum pasukan penyiasat mengisytiharkannya sebagai ‘selamat’.

Namun Wisma Putra tidak memberi maklum balas segera bagi mendapatkan komen.

Sebab utama pemeriksaan masih belum jelas.

“Banyak kapal Korea Utama menghubungi pelabuhan kita dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah.

“Cuma beberapa bulan kebelakangan ini, timbul pula pelbagai masalah. Kami tidak pernah menerima sebarang arahan untuk menghalang kapal-kapal dari Korea Utara sebelum ini,” tambah pekerja pelabuhan itu lagi.

Kum Ya pada mulanya diarahkan berhenti ketika berada di laut sebelum dibenarkan berlabuh di pelabuhan di mana ia dikepung dengan segera, kata pekerja pelabuhan tersebut.

“Pegawai-pegawai Jabatan Mineral dan Geosains dipanggil untuk memeriksa kargo.

“Pegawai-pegawai berkenaan diarahkan untuk mengesahkan bahawa memang benar arang batu yang dibawa oleh kapal tersebut,” katanya lagi.

Tambah beliau, arang batu berkenaan telah dipunggah keluar namun tidak dirampas.

Penghantaran oleh Kum Ya dikendalikan oleh syarikat Malaysia Alim Maritime Sdn. Bhd., kata pekerja pelabuhan itu.

Alim Maritime bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan. – MalaysiaGazette