Tengku Adnan Tengku Mansor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (Rumahwip) di ibu negara telah 67 peratus dilaksanakan sehingga Februari 2017. Projek tersebut dilancar pada 2013.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kementeriannya meletakkan sasaran pembinaan keseluruhan 80,000 unit rumah mampu milik Rumahwip di ibu kota menjelang 2020.

Katanya, indikator berkenaan digunapakai dalam pengiraan sasaran itu dengan mengambilkira projek di bawah kategori ‘siap’, ‘dalam pembinaan’ dan ‘kelulusan perintah pembangunan’.

“Kita berjaya membina 53,246 unit Rumahwip setakat ini atau 67 peratus daripada jumlah angka yang disasarkan,” katanya dalam ucapan perasmian pembinaan Rumahwip, Residensi Seri Wahyu oleh pemaju hartanah, Kumpulan Mah Sing di Jalan Kuching di sini.

Kediaman setinggi 36 tingkat itu terdiri dari 660 unit dengan keluasan pembinaan 805 kaki persegi setiap unit tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Ia dibangunkan atas tanah swasta seluas setengah hektar dan dijangka siap menjelang Mac 2020.

Tengku Adnan berkata, kementerian dan agensi-agensi dibawah bidang kuasanya sentiasa berusaha memastikan projek di peringkat ‘kelulusan perintah pembangunan’ dapat dipercepatkan ke peringkat ‘pembinaan’ supaya dapat ditawarkan kepada rakyat secepat mungkin.

“Apabila siap nanti, penghuni Residensi Seri Wahyu akan disambung dengan jaringan jalan raya yang efisyen dan kemudahan pengangkutan awam seperti KTM Komuters dan MRT pada jarak dua kilometer dari kediaman yang akan memudahkan pergerakan mereka,” tegasnya lagi.

Tengku Adnan berkata, lebih banyak projek Rumahwip bakal menyusul pada masa depan untuk warga kota, khususnya generasi muda selepas ini. – MalaysiaGazette