Shahrum Mohd Sharif

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi mendakwa negeri itu menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar kepada kepada Kerajaan Persekutuan dengan nilaian RM240 bilion setahun.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri hanya mendapat balik sebanyak 1.75 peratus atau RM4 bilion daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun, yang disifatkan suatu jumlah agak kecil.

Sehubungan itu, beliau mahu wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tahu negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) telah menyumbang sumber ekonomi terbesar iaitu 22.6 peratus setahun kepada Malaysia.

“Apakah YB (Yang Berhormat) Dengkil (Shahrum Mohd. Sharif) bangga dengan sumbangan RM21 bilion untuk tempoh lima tahun dan RM4 bilion setahun kepada Selangor?

“Sebagai wakil rakyat Selangor yang mewakili rakyat Selangor di Dengkil dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain, YB patut bertanggungjawab mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menyumbangkan lebih banyak kepada kerajaan Selangor,” katanya ketika menggulung titah ucapan menjunjung kasih Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menafikan dakwaan Shahrum sebelum ini yang menyatakan sumbangan RM21 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bukan untuk setahun tetapi peruntukan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau turut menyifatkan peruntukan itu terlalu kecil berbanding sumbangan kerajaan negeri setiap tahun.

Shahrum kemudian mencelah dengan memaklumkan selain peruntukan itu, banyak projek di Lembah Klang yang dimajukan Kerajaan Persekutuan tertumpu kepada Selangor dan juga Kuala Lumpur.

“Menteri Besar perlu ingat, semua projek pengangkutan aliran ringan yang bernilai berpuluh-puluh billion seperti LRT, MRT2 dan selepas ini LRT 2 yang hendak dibina adalah untuk kemudahan dan manfaat rakyat Selangor.

“Sungguhpun peruntukan untuk RMK-11 dilihat kecil oleh kerajaan negeri tetapi sumbangan lain dalam bentuk pembangunan sistem pengangkutan di Selangor cukup besar.

“Sebab itu saya kata, penting bagi Menteri Besar meneruskan kerjasama, perbincangan dan juga rundingan dengan Kerajaan Persekutuan demi untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Shahrum juga turut meminta Mohamed Azmin memberikannya secara lengkap fakta mengenai dakwaan sumbangan KDNK RM240 bilion kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan setahun.

“Minta bagi kepada saya fakta mengenai RM240 bilion ini untuk disemak, kerana saya tidak tahu dari mana fakta yang MB peroleh? Saya hendak angkat perkara ini kepada Kerajaan Persekutuan untuk dapatkan maklumat jelas,” katanya. – MalaysiaGazette