Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak dapat menjawab pertanyaan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung ketidakselarasan jumlah perbelanjaan digunakan untuk menyelenggara projek jalan bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib memberi alasan, ia berpunca daripada data pendaftaran penyelenggaraan menerusi Marris secara atas talian berlaku penambahan.

Jawapan itu bagaimanapun mencetuskan rasa tidak puas hati Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) yang ingin tahu kenapa jumlah penyelenggaran jalan berkurangan, sedangkan peruntukan bertambah.

Pertanyaan beliau itu tidak dijawab secara terperinci, sebaliknya Zaidy memberitahu sudah menjawabnya kepada Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) sebelum ini.

Mat Nadzari berkata, perkara itu kerana berlaku perpindahan peruntukan dari satu jabatan ke jabatan lain yang diberi tanggungjawab menguruskan kewangan Marris.

“Sebab Exco maklumkan tadi, peruntukan yang disediakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran IJPS) Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berpindah-pindah dari satu jabatan ke jabatan.

“Ini bermakna kalau tahun sebelumnya (2015) jabatan berkenaan menyelenggara 100 kilometer jalan, kenapa tahun ini 90 kilometer dan di mana baki 10 kilometer lagi? Ini yang saya hendak bangkitkan (tanya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi pertanyaan dan jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Zaidy sebelum ini menjawab soalan bertulis Sulaiman yang ingin tahu jumlah diperuntukan kepada jabatan bawah Marris.

Kata Zaidy, peruntukan Marris bagi tahun 2016 ialah lebih RM496.998 juta tetapi berlaku pertambahan lebih RM190 juta berikutan keperluan jabatan bagi kerja menyelenggara jalan bawah sistem itu.

Antaranya ujar beliau, JKR diperuntukan sebanyak RM196 juta dan digunakan seratus peratus, manakala JPS yang diperuntukan RM2 juta telah menggunakan 99 peratus, diikuti Pejabat Daerah dan Tanah yang menerima peruntukan lebih RM11 juta telah menggunakan sebanyak 86 peratus dan peruntukan PBT lebih RM462 juta membelanjakan hampir 97 peratus. – MalaysiaGazette