Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pembatalan debat antara Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan disebabkan keputusan politik.

Sebaliknya, langkah yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ada kaitan dengan faktor keselamatan bagi menjaga ketenteraman awam, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

“Kita harus mengambil langkah berjaga-jaga. Pihak polis mempunyai alasan yang kukuh untuk membatalkannya.

“Saya tidak melihat ini kepada satu keputusan politik. Ini adalah soal keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Irmohizam berkata demikian mengulas kenyatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh pembatalan debat itu bercanggah dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, debat seumpama itu pernah diadakan pada 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka dan berakhir dalam keadaan aman.

Debat di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan ketika itu) ada membincangkan isu kenaikan harga minyak yang merupakan isu politik yang hangat dibincangkan pada ketika.

Sabtu lalu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob mengumumkan debat terbuka yang sepatutnya berlangsung di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 pada 7 April ini dibatalkan oleh polis atas alasan keselamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast