Ibrahim Yusoff (dua dari kanan) bersama Pengarah Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Maklumat Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam, Mohd Danial Ma'alip (dua dari kiri) melancarkan Hari e-Bertemu Pelanggan di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 03 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada warga ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini tampil memperkenalkan sistem Hari Bertemu Pelanggan secara dalam talian (e-HBP).

Sistem ini merupakan sistem interaksi secara maya pertama yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibangunkan dengan kerjasama pintar di antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan DBKL yang menggantikan amalan kaedah konvensional secara bersemuka.

Menurut Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, kaedah bersemuka antara pihak berkuasa itu dengan warga kota sudah tidak relevan lagi bagi masyarakat mengemukakan masalah dan melibatkan pelbagai faktor sebelum aduan tersebut diterima, sekali gus diselesaikan oleh DBKL.

“Peringkat bertemu secara bersemuka akhir-akhir ini sudah tidak ramai antara 10 hingga 15 orang sahaja yang sudi ke DBKL untuk bertemu kami. Kita tahu masalah di ibu kota ini dengan kesesakan lalulintas dan tempat meletakkan kenderaan yang kurang malah turut melibatkan kos. Sekarang kita permudahkan masyarakat untuk kemukakan aduan dalam talian.

“Dengan menggunakan telefon mudah alih sahaja boleh kemukakan aduan kepada kami. Malah aduan akan sampai terus kepada pegawai yang bertanggungjawab yang akan mengendalikan aduan terbabit. Ini lebih mudah,” katanya selepas merasmikan program “Hari Bertemu Pelanggan Atas Talian (e-HBP) di Menara Akademik Institut Latihan DBKL hari ini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff bercakap pada sidang media ringkas selepas melancarkan Hari e-Bertemu Pelanggan di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 03 APRIL 2017
Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff bercakap pada sidang media ringkas selepas melancarkan Hari e-Bertemu Pelanggan di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 03 APRIL 2017

Ujarnya, kaedah ini memberi ruang dan peluang kepada masyarakat ibu kota untuk berinteraksi dengan pihak berkuasa dan terus membuat aduan hanya di hujung jari malah sistem ini tidak perlu dimuat turun.

Sehingga Januari lalu, bilangan aduan secara terus dengan DBKL turun mendadak kepada 10 hingga 15 kes sebulan berbanding sebelum ini.

Dengan itu, e-HBP dijangka mampu untuk meningkatkan jumlah aduan warga kota yang lebih mudah walau di mana sahaja mereka berada.

“Diharapkan agar aduan ini akan meningkat dari masa ke semasa bagi membolehkan pihak DBKL meningkatkan mutu kerja dan perkhidmatan pada masa akan datang,” katanya.

Justeru warga kota digesa untuk menyalurkan apa-apa maklumat mahu pun aduan kepada DBKL.

Segala aduan boleh dikemukakan di ehbp.dbkl.gov.my.

“e-HBP ini akan beroperasi di setiap 15 haribulan setiap bulan dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari bagi menerima sebarang aduan daripada warga kota.

“Apa jenis aduan berkaitan bidang kuasa kuasa DBKL boleh dikemukakan. Jika terdapat aduan melibatkan agensi dan kementerian lain, kita akan salurkan contohnya kesesakan lalulintas akan dikemukakan terus kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.

“Malah kami juga terima aduan melibatkan ulat tiket. Jadi kami salurkan kepada Suruhanjaya Pengankutan Awam Darat. Tetapi kalau masalah penjaja atau rumah rosak, itu akan terus diselesaikan oleh DBKL,” tambah beliau.

Seramai 30 kakitangan DBKL ditempatkan di bilik aduan di tingkat dua, Menara Akademik Institut Kemahiran DBKL bagi menerima dan menyelesaikan sebarang aduan yang dikemukakan oleh warga ibu kota.

Respon terhadap sebarang aduan akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

Malah tiada sebarang kos diperuntukkan oleh DBKL memandangkan sistem terbabit diperoleh dengan kerjasama JPA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast