Harussani Zakaria

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menasihati Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim agar mempelajari dan memahami agama Islam sebelum membuat kenyataan tentang agama itu.

Kata beliau, sebagai peguam, Siti Kasim tidak sepatutnya menyentuh isu tauhid yang jelas bukan bidangnya.

“Perbuatan itu boleh menjurus kepada murtad. Orang yang murtad itu terkeluar daripada Islam dan kalau mati pun tak boleh ditanam di perkuburan Islam,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Harussani mengulas laporan media yang menyebut tentang kenyataan Siti Kasim berhubung tuhan dalam satu temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina beberapa tahun lepas.

“Saya menasihatkan (Siti Kasim) untuk tidak campur dalam urusan agama yang kita tidak tahu. Belajarlah.

“Kita beruntung kerana dilahirkan sebagai orang Islam. Cukup beruntung. Pelajarilah agama Islam yang dibawa oleh mak dan bapa kita. Kita pertahanlah agama itu. Jangan kita bercakap perkara yang kita tidak tahu kerana itu akan merosakkan diri kita,” kata Harussani.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Siti Kasim untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya berkaitan kewujudan tuhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast