Shafie Ngah

SHAH ALAM – Ketika kerajaan Selangor memuji langkah seorang Ketua UMNO Bahagian di negeri itu yang turut serta membantu menjalankan kempen program Skim Peduli Sihat (SPS), masih ada juga suara sumbang daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang fobia dengan nama Datuk Seri Jamal Md. Yunus meminta kerajaan negeri tidak terlalu gembira penyertaan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang ketika ini giat melancarkan program SPS.

“Saya tengok dia (Jamal) edar borang kepada orang ramai minta isi untuk menyertai skim ini. Apa yang saya bimbang, dia tidak serahkan kembali borang itu kepada kerajaan negeri.

“Dengan itu, rakyat akan menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak pedulikan mereka, sedangkan borang SPS sudah diisi,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan terima kasih Sultan Selangor di Dewan Negeri di sini, hari ini.

Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) bangun membantah kenyataan Suee Lim yang dianggapnya bersifat jahat.

“Kempen baru berjalan, borang baru diserahkan kepada orang ramai, tetapi Sekinchan telah membuat sangkaan jahat terhadap pemimpin UMNO,” katanya.

Sementara itu, Datuk Sulaiman Abd. Razak (BN-Permatang) memberitahu Dewan Negeri, Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan kerajaan negeri itu telah lama dilaksanakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Ujar beliau, kerajaan negeri tidak perlu mendabik dada skim itu disokong oleh UMNO, kerana apa yang dilakukan oleh Jamal adalah kesinambungan daripada program sihat UMNO.

Sesi perbahasan juga agak tegang apabila Halimah Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) meminta kerajaan negeri tidak menyamakan Skim Peduli Sihat dengan Klinik 1Malaysia.

Katanya, Klinik 1Malaysia menyediakan rawatan dan pemeriksaan sakit ringan seperti demam, selesema dan batuk, serta tidak ada kaitan langsung dengan Skim Peduli Sihat

Dr. Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) menyindir wakil BN yang didakwanya tidak faham apa yang diperkatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Daroyah Alwi.

“Sri Andalas yang tidak faham. Saya membangkitkan persoalan ini kerana Exco cuba menyamakan Skim Peduli Sihat dengan Klinik 1Malaysia. Sedangkan ia berbeza,” katanya.

Ketika wakil BN bangun mengemukakan soalan, seorang wakil PH, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) cuba mengganggu pertanyaan itu, menyebabkan Datuk Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) menyindirnya seolah mahu mengambil alih tugasan Exco.

Ketegangan itu memaksa Timbalan Speaker DUN, Mohd Shafie Ngah menutup pembesar suara dan menasihatkan beberapa ADUN BN dan PH duduk.

Tindakan Shafie menutup pembesar suara di meja ADUN yang bertikam lidah itu disifatkan sebagai bijak kerana masing-masing tidak akan meneruskan hujah kosong berikutan suara tidak jelas. – MalaysiaGazette