TAIWAN – Kisah seorang nenek meletakan ikan yang dibeli di pasar dalam beg Louis Vuitton (LV) telah menjadi tular di bandar ini.

Seorang lelaki yang menulis dalam media sosial berkata, neneknya tidak tahu beg yang dihadiahkan olehnya adalah daripada jenama ikonik LV, telah diisi dengan ikan dan barangan lain yang dibeli di pasar.

Lelaki itu berkata, neneknya dengan gembira dan teruja memberitahu beg tersebut kalis air walaupun agak berat.

LV adalah jenama beg tangan yang mahal harganya di Asia dan dunia.

Lelaki tersebut berkata, sebelum ini neneknya telah menggunakan beg lusuh yang sama sejak bertahun, lantaran itu dia menghadiahkan beg tangan baharu yang mahal.

Sambil mengakui terkedu selepas melihat nenek melambai kepadanya dengan beg yang penuh dengan ikan segar, lelaki itu berkata, beliau memutuskan untuk tidak memaklumkan tentang ‘kesilapan’ yang dilakukan neneknya melihat kegembiraan pada wajah wanita itu.

Posting lelaki itu menerima lebih 31,000 Like.

Seorang pengguna yang mengulas posting itu berkata: “Nenek anda adalah individu yang paling bergaya di pasar, berjalan di sekitar pasar seperti berjalan di atas pentas walaupun harga ikan sudah naik”. – MalaysiaGazette