Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Malaysia hari ini mengesahkan bekas anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli telah memohon pada 9 Julai pengecualian agar tidak hilang kelayakan bagi memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia.
Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar pada 9 Ogos rayuan anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli terhadap hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penolong Kanan Pendaftar Asfahani Hamzah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Izwan Ariff Ibrahim dan peguam Haijan Omar yang mewakili Mohd Rafizi.

Izwan Ariff ketika ditemui pemberita berkata kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Pada 14 Nov tahun lepas, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Bagaimanapun Hakim Zulqarnain Hassan yang memerintahkan hukuman itu berjalan serentak, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan Mohd Rafizi didengar di Mahkamah Tinggi.

Naib Presiden PKR itu didapati bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mohd Rafizi, 40, turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

— BERNAMA