Liow Tiong Lai

SEPANG – Polis mempunyai alasan kukuh dalam mencadangkan usul mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap ibu bapa yang anaknya ditahan berulang kali kerana berbasikal secara berbahaya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan keselamatan itu telah berusaha sedaya upaya untuk menjaga keselamatan, termasuk memberi amaran kepada kanak-kanak dan remaja yang berbasikal di atas jalan raya.

“Saya rasa pihak polis cuba mendapatkan sokongan daripada ibu bapa, sebab itu mereka cuba yang terbaik.

“Kalau mereka tiada pilihan tentu mereka ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan selepas merasmikan Mesyuarat Global Badan Bukan Kerajaan (NGO) Untuk Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Kemalangan Kali Ke-5 di Hotel Sama-sama di sini, hari ini.

Isnin lalu, Polis Johor bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-kanak 2001 terhadap ibu bapa remaja yang ditahan berulang kali kerana menunggang secara bahaya dengan basikal yang telah diubahsuai.

Perkara itu diutarakan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berikutan kejadian pada Sabtu lalu apabila sekumpulan remaja mengulangi kegiatan sama secara berkumpulan di lokasi kejadian yang meragut nyawa lapan remaja pada 18 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Tiong Lain turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan lebuh raya sebagai tempat untuk melakukan aktiviti berbasikal.

Bagaimanapun katanya, sekiranya perlu mereka harus memohon kepada polis ataupun pihak berkuasa tempatan agar boleh membantu pergerakan di atas jalan raya.

“Kita semua kena bertanggungjawab. Keselamatan di jalan raya ini tanggungjawab kita semua. Masyarakat harus sedar perkara ini.

“Bagi ibu bapa, jaga anak-anak jangan biarkan mereka menggunakan jalan raya sebagai satu tempat untuk mereka berbasikal dengan sewenang-wenangnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

Link

http://malaysiagazette.com/blog/2017/04/03/polis-boleh-heret-ibu-bapa-ke-mahkamah-jika-anak-ditahan-berulang-kali/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast