Azih Muda

MUAR – Kira-kira 40 peratus permohonan penjawat awam untuk membeli rumah ditolak sama ada oleh bank atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan, ia berlaku bukan sahaja kerana gaji tidak mencukupi tetapi juga disebabkan syarat yang dikenakan pemaju selain harga rumah yang mahal seperti tidak dikawal.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta kerajaan menubuhkan satu badan khas bagi mengawal harga rumah yang semakin meningkat.

Menurut Presidennya, Datuk Azih Muda, cadangan itu dibuat supaya kerajaan dapat memastikan sekali gus mengawal harga rumah di seluruh negara bagi membolehkan sesebuah kediaman itu mampu dibeli rakyat termasuk penjawat awam.

“Saya fikir kalau inilah trend yang berlaku, mana-mana penjawat awam atau rakyat yang berpendapatan RM8,000 sekali pun tidak mampu untuk membeli rumah teres, Semi D dan jauh sekali rumah banglo,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Tri-Tahunan Anulae Cawangan Majlis Perbandaran Muar di sini hari ini.

Justeru, katanya, CUEPACS berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan kerajaan dalam usaha menangani masalah sukar memiliki rumah.

Pada masa sama, Azih berkata, CUEPACS juga sedang berbincang dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) untuk mewujudkan pengkalan data jumlah penjawat awam yang tidak memiliki rumah. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast