Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Negara mencadangkan penggubalan Akta Kebertanggungjawaban Menteri (AKM) di negara ini bagi memastikan menteri dan Perdana Menteri lebih bertanggungjawab kepada Parlimen.

Melalui beberapa peruntukan tertentu yang berkaitan dengan prosedur dan kaedah penjelasan oleh menteri berkenaan berhubung sebarang isu dibangkitkan di Parlimen, perlu meletakkan jawatan jika melanggar akta tersebut.

Timbalan Pemuda Amanah Negara, Faiz Fadzil ketika membuat cadangan itu berkata, undang-undang seperti itu berjaya diamalkan dengan baik di Parlimen Britain bertujuan memastikan kebertanggungjawaban menteri atas salahlaku jemaah menteri.

Beliau memberi contoh, bekas Menteri Tenaga, Chris Huhne pernah meletak jawatan setelah didapati bersalah menyalahgunakan proses undang-undang dengan meminta bekas isterinya didenda atas kesalahan beliau memandu melebihi had laju kira-kira 10 tahun sebelum itu.

“Persoalannya, di negara ini, salah laku Perdana Menteri dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan pada masa sekarang ketika beliau memegang jawatan dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang saksi oleh Parlimen.

“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, sistem demokrasi berparlimen akan mati kerana tiada lagi fungsi semak imbang yang baik dan sah,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Faiz, institusi Parlimen perlu dipelihara sebagai teras amalan sistem demokrasi dan seharusnya diangkat dengan reformasi menyeluruh agar keluhuran perlembagaan terus subur dan diperkasakan.

Beliau turut menyifatkan, persidangan Dewan Rakyat Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas 2017 yang berakhir semalam, sebagai tiada penyelesaian kepada isu utama iaitu 1MDB yang mengancam demokrasi dan ekonomi negara hari ini.

“Ini berlaku disebabkan Speaker Dewan Rakyat telah menggunakan kuasanya untuk melarang daripada sebarang perbahasan.

“Amat malang isu begini penting tidak dibenarkan untuk dibahaskan apatah lagi telah dimanfaatkan kerajaan untuk mengelak daripada menjawab kepada Parlimen.

“Skandal 1MDB ini memberikan kesan negatif kepada integriti negara di mana Perdana Menteri sendiri didakwa menyeleweng dana itu untuk kegunaan peribadi dan seharusnya dijawab beliau dalam Parlimen,” katanya.

Parlimen juga katanya, sebuah institusi, di mana menteri termasuk Perdana Menteri hendaklah mempunyai tanggungjawab kepada Dewan Rakyat ke atas segala tindakan sama ada dalam kapasiti menteri atau peribadi.

“Dalam erti kata lain, seseorang menteri termasuk Perdana Menteri perlu hadir ke Parlimen untuk menjawab dan menjelaskan apa-apa isu yang terpalit, apatah lagi skandal 1MDB melibatkan elemen jenayah dan penyelewengan wang negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri kepada Parlimen, tetapi intipati dan semangat Perlembagaan itu tidak diamalkan oleh Parlimen Malaysia.

“Speaker Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas proses demokrasi Parlimen seharusnya menjunjung tinggi kehendak Perlembagaan ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette