ALOR SETAR – Seorang pengawal keselamatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini terkejut apabila menemukan seorang bayi lelaki yang baru lahir, selepas azan Subuh, hari ini.
Mohd Nor Samsu, 56, yang bertugas sejak pukul 7 malam semalam berkata, dia sedang melakukan rondaan pada 6.10 pagi dan tidak menyangka bunyi tangisan bayi sejurus selepas azan Subuh menemukannya dengan bayi tersebut di hadapan perhentian bas hospital itu.
“Saya menjumpai bayi itu di atas lantai simen perhentian bas dalam keadaan berbalut tuala kuning serta badannya dihurungi semut dan kesejukan,” katanya kepada Bernama.
Terkejut dengan situasi itu, dia segera menutup tubuh bayi itu dengan kain serta melapor kejadian pada polis.
Mohd Nor turut memaklumkan penemuan itu kepada pihak HSB yang kemudiannya datang dengan sebuah ambulans untuk membawa bayi itu mendapatkan rawatan.
Mohd Nor berkata, dia percaya bayi itu dilahirkan di tempat kejadian berdasarkan kepada penemuan 2 helai kain batik yang mempunyai kesan darah yang agak banyak di belakang perhentian bas itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin yang mengesahkan penemuan itu berkata, bayi itu dipercayai baru berusia sehari dan mungkin dilahirkan di tempat dia dijumpai.
Bayi itu sudah dirawat dan kini dalam keadaan sihat. – MalaysiaGazette