KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah terkejut dan kecewa dengan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfouz Omar dan rakan-rakannya yang menyerbu ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik sahaja ia ditangguhkan.
Beliau menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang itu kurang sopan dan sangat mengejutkannya.
Katanya, beliau sedia maklum mengenai hasrat sekumpulan penduduk yang diketuai Mahfuz yang mahu menyerahkan memorandum kepadanya.
“Sebaik mengetahui perkara ini saya sudah arahkan pegawai saya supaya menerimanya bagi pihak saya seperti amalan biasa yang dilakukan oleh mana mana pemimpin kerajaan sebelum ini.
“Namun tindakan Mahfuz yang enggan menyerahkannya kepada wakil saya sebelum menyerbu beramai-ramai masuk ke dalam dewan sebaik Sidang DUN ditangguhkan amat mengejutkan dan saya adalah kurang sopan.
“Mahfuz sepatutnya memahami perkara itu dan beliau ada peluang untuk berjumpa dengan saya untuk bertanya hal itu di masa yang lain kerana saya sentiasa terbuka,” katanya.
Ahmad Bashah mendakwa, Mahfuz juga seringkali melontarkan pelbagai kritikan dan tohmahan terhadap pentadbirannya sebelum ini.
Namun Ahmad Bashah menganggap perkara itu sebagai resam dalam dunia politik dan tidak sedikit pun menyebabkan dirinya berkecil hati atau berdendam.
“Jadi persoalan saya apa niat beliau sebenarnya melakukan serbuan seperti itu di dalam Dewan.
“Adakah ia satu tindakan untuk mencari populariti, sekali gus menutup kelemahan beliau di kawasan yang diwakilinya (Mahfuz) atau ia semata-mata atas kepentingan rakyat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
Comments are closed.