Mahamad Naser Disa. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Pas membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 selepas mereka menerima syor bahawa pelaksanaan hudud tidak boleh dilaksanakan oleh jawatankuasa teknikal di peringkat pusat yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Datuk Prof. Mahamad Naser Disa di Hotel Shangri-La, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 APRIL 2017
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Datuk Prof. Mahamad Naser Disa di Hotel Shangri-La, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 APRIL 2017

Perkara itu didedahkan oleh salah seorang ahli panel jawatankuasa itu, Datuk Mahamad Naser Disa yang memberitahu Pas diberikan penjelasan dalam jawatankuasa itu bahawa ketika ini parti itu hanya boleh meningkatkan martabat Mahkamah Syariah menerusi pindaan RUU 355.

Pas menerima pandangan itu dan bersetuju untuk membawanya ke Dewan Rakyat.

“Pas ini sinonim dengan hudud, daripada dulu-dulu pun, mereka mengkafirkan UMNO pun kerana mereka mendakwa UMNO menolak hudud.

“Sampai satu ketika, cuba bayangkan dari tahun 90an sampai tahun 2015, hudud yang dibuat oleh Pas tidak boleh dilaksanakan dan saya salah seorang ahli yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa teknikal memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Saya duduk di situ bersama dengan Pas, Pas diwakili oleh Kelantan dan saya mewakili Kerajaan Persekutuan, Pengerusinya Ketua Pengarah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita perjelaskan kepada Pas bahawa buat masa ini kita hanya boleh meningkatkan Mahkamah Syariah itu melalui pindaan kepada Akta 355,” kata beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) semasa sesi bersama pengamal media di Shangri-La, Putrajaya hari ini.

Pada 2014, sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat pusat ditubuhkan bagi mengkaji pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan.

Jelas beliau, saranan untuk memperkukuhkan RUU 355 dan bukan memperkenalkan hudud sebenarnya pernah disuarakan oleh banyak ahli akademik, antaranya tokoh perundangan Malaysia, Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim dan hasil penjelasan itu menyebabkan Pas akhirnya menerima syor tersebut.

“Proses pindaan ini sebenarnya sudah pun disuarakan oleh Prof Ahmad Ibrahim lagi dan boleh dikatakan semua ahli akademik apabila membicarakan tentang memartabatkan Mahkamah Syariah semua mencadangkan supaya akta 355 ini dipinda dan dinaikkan.

“Jadi sebab itu Pas kata mereka mahu bawa Akta 355 ini dan saya rasa langkah itu cukup bijak dan kita menasihati menteri dan UMNO supaya bersetuju dengan cadangan Pas untuk membawa pindaan 355 ini,” katanya.

Berhubung langkah kerajaan untuk tidak membentangkan RUU 355, beliau menjelaskan langkah itu bertujuan supaya tidak wujud percanggahan dengan penyokong Pas yang selama ini hanya meletak matlamat mahu melaksanakan hudud semata-mata.

“Kalau kerajaan yang bawa, cuba bayangkan pengikut Pas yang sudah lama duduk sebut hudud, bila kerajaan bawa 355 mereka akan kata apa, kita bukan nak 355, kita nak hudud tetapi bila Pas yang bawa kita sudah selesai stumble block (batu penghalang) yang cukup besar. Kita sudah selesai apabila sebahagian besar daripada Pas menerima bahawa meningkatkan Mahkamah Syariah adalah melalui Akta 355,” ujarnya.

Selain itu, Mahamad juga memberitahu, kerajaan juga berdepan risiko dalam berdepan dengan parti komponen jika meneruskan hasrat untuk mengambil alih RUU 355.

Bagaimanapun, langkah Pas membawa RUU 355 akhirnya mendedahkan sikap sebenar pembangkang, Pakatan Harapan berhubung inisiatif untuk meningkatkan Mahkamah Syariah ini, kata Mahamad.

“Mereka (pengundi) tidak sangka apabila memilih PKR, DAP itu akhirnya mereka akan makan kita balik, tapi sekarang ini dengan 355 sudah memperjelaskan sikap sebenar DAP, PKR dan juga beberapa orang PAN (Parti Amanah Negara) itu bahawa mereka tidak begitu gemar pun untuk membawa mesej Islam seperti mana terkandung dalam Perlembagaan itu,” terangnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa sidang Dewan Rakyat minggu lalu mengemukakan usul untuk meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan.

Usul kekal menjadi usul peribadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan ia sebagai rang undang-undang kerajaan, atas dasar konsensus dalam Barisan Nasional. – MalaysiaGazette