KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub membuat provokasi apabila menyatakan pelantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas membawa petanda perdana menteri akan berundur daripada jawatannya.
Menerusi kenyataan Salahuddin berkata, Hishamuddin akan mengambil alih jawatan ketua kerajaan itu bagi memastikan kesinambungan dan talian hayat UMNO dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Perlantikan Hishamuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas adalah isyarat Najib (Datuk Seri Najib Razak) akan berundur daripada jawatan PM dalam tempoh terdekat.
“Hishamuddin akan mengambil alih jawatan PM untuk memastikan kesinambungan dan talian hayat UMNO dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan melantik Hishammuddin sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, berkuat kuasa hari ini.
Walaupun dilantik menjawat jawatan itu namun, Hishammuddin masih kekal sebagai Menteri Pertahanan. – MalaysiaGazette