Ismail Sabri Yaakob diiringi Johan Abdul Aziz (kanan) beramah mesra dengan peniaga kedai kasut, Rozana Endut ketika melawat Bazar MARA Semenyih. foto SAFWAN MANSOR, 13 APRIL 2017.

SEMENYIH – Pengundi di Selangor terutama di kawasan Hulu Langat diseru memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memudahkan banyak lagi projek pembangunan dilakukan di tempat mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersedia melaksanakan projek untuk penduduk di kawasan berkenaan terutamanya Bumiputera sekiranya kerajaan negeri yang dipimpin oleh pembangkang bertukar kepada BN.

Katanya, MARA menghadapi masalah untuk melaksanakan projek pembangunan di Selangor ekoran tidak mempunyai tanah yang cukup.

“Saya tak nak janji kosong, kalau saya kata lulus, kalau nak bina bangunan, nak bina MRSM, nak bina bazar baru, kena ada tanah.

“Dan MARA tidak ada tanah di Hulu Langat, di Semenyih. Kalau ada tanah kita boleh buat di tanah kita. Kalau tiada kita kena minta daripada kerajaan negeri.

“Saya percaya sukar untuk mendapatkan tanah daripada kerajaan negeri. Jadi, yang paling baik adalah kerajaan di bawah BN. Kerana kerajaan di bawah kita yang menentukan nak beri tanah atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar MARA Semenyih di sini hari ini.

Hadir sama pada Majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Dalam perkembangan sama Ismail Sabri berkata, projek pembangunan untuk rakyat lebih mudah dilaksanakan sekiranya kerajaan pusat dan kerajaan negeri dari satu parti yang sama.

Sebaliknya, jika kedua-dua kerajaan daripada parti yang berlainan maka sesuatu rangka kerja yang hendak dilaksanakan untuk rakyat agak sukar kerana tiada hubungan yang rapat.

“Untuk mempermudahkan urusan senang saja, tukar kerajaan.

“Dulu kita pernah buat Kolej Profesional MARA masa di bawah BN. Tapi, kalau sekarang nak buat memang sukar sebab kita tiada tanah,” ujarnya. – MalaysiaGazette