Pengerusi Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata ia sekali gus menafikan tuduhan pihak pembangkang yang mendakwa PAS akan bergabung dengan UMNO bagi memastikan kemenangan tidak berpihak kepada pihak pembangkang.
“PAS sedia berdepan tentangan tiga penjuru bersama rakan-rakan pembangkang yang lain termasuk UMNO pada pilihan raya umum akan datang, kita akan hadapi kerana ia satu situasi yang kita tidak boleh elak.
Itu yang terpaksa kita hadapi kerana secara tradisi kita dah 60 tahun lawan UMNO. Yang lain (pembangkang) hok (yang) baru-baru semua. Sepanjang masa kita lawan UMNO, macam mana pembangkang lain kata kita akan bersama dengan UMNO? Tidak sama sekali! Tak mungkin!,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini.
Mustafa juga tidak menafikan pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan perpecahan di kalangan pembangkang dan ini sekali gus memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional untuk menang.
“Kesimpulannya di Malaysia ni, kalau berlaku perpecahan di kalangan pembangkang iaitu pertandingan tiga penjuru, pembangkang akan kalah…cakap terus terang…ia tidak akan menguntungkan.. pembangkang semua akan rugi.
“Tapi PAS biasa kalah dan menang, pernah juga menang hanya satu kerusi pada pilihan raya umum tahun 1978, tapi kita boleh bangun balik. Parti lain kalau jadi camtu (seperti itu) dia akan mati, sempat sekali pilihan raya umum lepas tu dia hilanglah,” katanya.
Mengulas serangan parti-parti pembangkang terhadap PAS mutakhir ini termasuk parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dengan mendakwa parti itu bersekongkol dengan BN, Mustafa berkata ia satu strategi untuk menjatuhkan PAS dan mendapat sokongan daripada pengundi yang percaya dengan tohmahan tersebut.
“Dia (pembangkang) sudah tidak ada modal lain untuk serang PAS. Sebab itu dia cakap hodoh tentang Pas. Tapi alhamdulillah, tidak berjaya setakat ini.
“PAN sendiri boleh dikatakan antara parti yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat. Kalau ada orang UMNO yang keluar pun sama ada dia akan masuk Parti Bersatu atau masuk PAS, dia tak akan pergi kepada PAN,” katanya.
Berhubung penetapan kerusi dan calon-calon yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-14 kelak, Mustafa berkata perkara tersebut belum dimuktamadkan namun perbincangan antara pimpinan tertinggi PAS sudah dijalankan.
Beliau turut membayangkan peningkatan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi PAS berbanding sebelum ini iaitu 73 kerusi namun tidak melebihi 100 kerusi Parlimen.
— BERNAMA