Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Biro Kebajikan UMNO Malaysia mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelantikan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas berkuatkuasa semalam.

Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya percaya ada alasan munasabah bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Menteri Pertahanan itu untuk menjalankan tugas-tugas khas.

Kata beliau, Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah sebuah jabatan yang besar dan sudah tentu ada kerja penting untuk dilaksanakan oleh Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.

“Kita juga melihat pelantikan ini sebagai tepat dan Hishammuddin ternyata berkemampuan untuk melaksanakan tugasan penting.

“Tambahan pula ketika ini banyak yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, sudah tentu ia memerlukan seorang menteri untuk menjalankan tugas-tugas khas dan Hishamuddin adalah yang paling tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Media berkenaan Program UMNO Bantu Rakyat di Pejabat Biro Kebajikan UMNO Malaysia, di Kondominium Villa Putra di sini, hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas berkuasa serta merta.

Shamsul Anuar berharap dengan adanya kementerian baharu ini akan memberikan lebih banyak manfaat dan faedah kepada rakyat. – MalaysiaGazette