Lawatan rasmi Putera mahkota Jepun ke Malaysia

KUALA LUMPUR – Putera Mahkota Jepun mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 13 hingga 17 April 2017.

Putera Mahkota Naruhito diiringi delegasi Istana Jepun dan juga pegawai-pegawai Kementerian Luar negara itu.

Ia merupakan lawatan pertama Putera Mahkota Naruhito ke negara ini sejak menjadi Putera Mahkota Jepun pada 23 Februari 1991.

Lawatan terakhir Putera Mahkota Jepun ke Malaysia adalah pada 1970 oleh Maharaja Akihito dan Maharani Michiko yang pada ketika itu merupakan Putera dan Puteri Mahkota Jepun.

Maharaja Akihito dan Maharani Michiko melawat Malaysia pada 1991 dan 2006.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan Putera Mahkota Jepun merupakan kemuncak sambutan ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik yang terjalin di antara kedua-dua negara.

“Lawatan bersejarah terbabit akan menyumbang kepada pengukuhan hubungan akrab dan talian persaudaraan antara kedua-dua negara serta hubungan peribadi di kalangan pemimpin,” katanya.

Sewaktu lawatan rasmi tersebut, Putera Mahkota Jepun akan mengadap Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan akan diraikan dengan jamuan makan malam di Istana Negara.

Putera Mahkota Jepun juga dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak.

Satu majlis makan tengahari akan dihoskan oleh Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi meraikan lawatan Putera Mahkota Jepun itu dan di Seri Perdana, Putrajaya.

Program-program Putera Mahkota Jepun lain termasuk lawatan ke Muzium Negara, Terowong Smart dan Japanese School Kuala Lumpur, serta majlis mengadap oleh komuniti Jepun di Malaysia dan juga rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan negara itu.

Tambahnya, hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun telah berkembang dengan pesat sejak pemeteraian hubungan diplomatik 60 tahun lalu.

“Antara teras utama kerjasama di antara kedua-dua negara adalah program Dasar Pandang ke Timur.

“Program- program di bawah dasar ini telah dilaksanakan sejak lebih tiga dekad yang lalu mulai tahun 1982, telah memasuki gelombang kedua bermula tahun 2013.

“Melalui program ini, Malaysia telah mendapat manfaat yang besar terutamanya dari segi pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette