Adam Rosly
Gambar arkib Adam Rosly diiringi anggota penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly berkuatkuasa hari ini.

Adam yang ditahan semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(AMLA).

Beliau berbaju lokap SPRM warna oren, tiba di mahkamah pada 9.25 pagi, diiringi pegawai SPRM dengan tangan bergari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman.

Turut kelihatan keluarga dan penyokong Adam termasuk isteri dan anak perempuannya yang menunggu beliau di mahkamah.

Adam pada November tahun lalu menjadi perhatian apabila didedahkan memiliki kekayaan dianggap luar biasa oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal menyewa sebuah helikopter untuk membawa wartawan melihat pemandangan banglo Adam dari udara. Kediaman itu didakwa Jamal bernilai RM7 juta.

Adam, 28, adalah pegawai khas Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM buat kali ketiga selepas melakukannya pada 10 dan 22 Februari lalu.
- MalaysiaGazette