Puvanesvari didakwa atas 28 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Ibu kepada tiga cahaya mata mengaku tidak bersalah di Mahkamh Majistret di sini, hari ini atas 28 pertuduhan menipu seorang lelaki yang juga ejen pembekal pita pelekat untuk menyerahkan komisen berjumlah RM172,985.

Tertuduh, A. Puvanesvari, 51, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Wanita yang kini menganggur itu didakwa memperdayakan lelaki itu kononya wujud projek pembekalan barangan tersebut hingga mendorongnya menyerahkan wang komisen antara RM1,000 hingga RM19,500, membabitkan 28 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza yang dikawal oleh tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 April hingga 24 Jun tahun lalu di sebuah apartmen di Jalan Bagan Jermal di sini.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin.

Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Teh See Khoon yang mewakili memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh mempunyai tiga orang anak berumur 13 hingga 19 tahun dan kini perbelanjaan keluarga ditanggung sepenuhnya oleh suami dengan pendapatan bulanan RM3,000.

“Selain itu, anak guam saya juga menghidap sakit diabetes serta tekanan darah tinggi,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Jun untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast