Putera Kotoishi Naruhito (dua kanan kanan) diiringi Rosmah Mansor (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh pelajar Permata Negara, Nur Addina Amiruddin (kanan) tentang robot yang dibangunkan oleh mereka di Bangi, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 14 APRIL 2017.

BANGI – Putera Mahkota Kotaishi Naruhito Shinno hari ini melawat Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Putera Mahkota Jepun itu disambut Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor sebaik sahaja tiba di pusat berkenaan pada  pukul 11.10 pagi.

 

Putera Naruhito kemudian dibawa melawat dan melihat program perkembangan dan kemajuan pendidikan anak-anak di Permata Negara.

Putera Mahkota itu meluangkan masa selama sejam melihat dan bermesra dengan anak-anak Permata dan melihat pameran sains, matematik selain dipersembahkan dengan persembahan muzik.

Ia merupakan lawatan rasmi pertama Putera Mahkota Jepun ke Malaysia sejak 1970 dan lawatan pada hari ini meraikan kemuncak hubungan diplomatik 60 tahun antara Tokyo dan Kuala Lumpur.

Putera Naruhito turut diberi penerangan mengenai perkembangan pendidikan Permata oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Ir Riza Atiq Rahmat dan Pengarah Permata Pintar Prof, Datuk Dr. Noriah Mohd Ishak.

Putera Naruhito kemudian berangkat meninggalkan Pusat Permata pada pukul 12.10 tengah hari. – Malaysia Gazette