Putera Kotoishi Naruhito (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh pelajar program Permata, Ivan Te tentang robot yang dibangunkan oleh mereka. foto SAFWAN MANSOR, 14 APRIL 2017.

BANGI – Putera Mahkota Kotaishi Naruhito Shinno tertarik dengan program pendidikan yang dijalankan di bawah Program Permata Negara (Permata) dan berhasrat untuk melawat semula dan meluangkan masa bersama pelajar program tersebut.

Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Permata berbanggga menerima lawatan Putera Mahkota Jepun itu di Pusat Pertama Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan membuka lembaran baharu dalam perkongsian murid kedua-dua negara.

“Saya teruja kehadiran baginda yang mana baginda sangat kagum dan tertarik dengan apa yang dijalankan di sekolah ini dan program serta aktiviti yang diajar di sini.

“Baginda juga bertitah bahawa budak-budak ini walaupun masih muda ada diantara mereka umur 14 tahun memasuki universiti luar negara.

“Malah baginda juga berkata di Jepun pelbagai program sekolah terpilih diadakan dan mahu mempertingkatkan dan mengeratkan lagi hubungan kerjasama khususnya program pertukaran pendidikan di antara murid Permata dan sekolah terpilih di negara Jepun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengiringi Putera Naruhito melawat Pusat Pertama Pintar Negara di sini, hari ini.

Rosmah berkata, Putera Naruhito juga tertarik dengan program Permata yang mencakupi spektrum keperluan pendidikan tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.

 

“Yang menyebabkan saya kagum ialah, baginda berminat untuk datang lagi ke Permata dan meluangkan masa yang panjang di sini,”ujarnya.

Sementara itu, Rosmah berkata, Permata akan membuat pertukaran pelajar dengan sekolah terpilih di Jepun pada Julai dan Ogos ini, melibatkan 10 pelajar Malaysia dan 100 pelajar Jepun.

“Kita juga melatih guru kita dan dihantar ke Amerika Syarikat dan pulang dengan ilmu tinggi untuk mengajar dengan pendekatan berbeza yang kini berjaya menarik perhatian pemimpin dunia termasuk Arab Saudi,” katanya. – MalaysiaGazette