Dr. Nik Muhammad Zawawi
Dr. Nik Muhammad Zawawi

BUKIT MERTAJAM – Jawapan kepada hubungan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR bakal diketahui dalam Muktamar Pas Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei depan.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, isu mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu akan menjadi topik perbincangan dan berkemungkinan besar akan mencapai keputusan sepakat.

“Ketika ini hubungan dengan PKR masih tawaqquf dan isu ini akan dibincang dalam muktamar dan keputusannya kita sama-sama lihat nanti.

“Saya yakin perkara ini dapat dimuktamadkan sepenuhnya di muktamar dan tidak dipanjangkan ke Majlis Syura seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh hari ini.

Pas sebelum ini bertegas tidak mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), maka mereka tidak duduk dalam komponen Pas.

Beliau berkata keputusan Pas itu adalah untuk kebaikan semua dan bagi mengukuhkan kedudukan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai parti yang lama kepada masyarakat Melayu beragama Islam.

“Apa yang saya boleh kata, muktamar kali ini berlainan dengan sebelumnya dan banyak perkara serta isu hangat akan dibangkitkan,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kebanyakan Pas kawasan telah meluluskan usul menggesa Pas pusat untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR.

Sebanyak 13 Kawasan Pas Pulau Pinang sebelum ini bersetuju membawa usul itu kerana PKR dilihat tidak lagi menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr. Nik Muhammad Zawawi menegaskan Pas tidak memerlukan dana RM90 juta yang kononnya didakwa diterimanya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya beliau berkata Pas bergantung sepenuhnya kepada hasil yang diperoleh daripada sumbangan anggota parti dan tidak pernah meminta dana daripada mana-mana pihak.

“Pas lebih kaya daripada itu. Kalau kita masuk pilihan raya, saya boleh sebut berapa kita nak, semua ahli-ahli Pas akan berkorban dan mengeluarkan duit secukupnya dalam berapa yang kita nak. Ini kelebihan yang ada pada Pas dan tiada dalam parti-parti yang lain,” katanya.

Beliau berkata anggapan menyatakan Pas menerima RM90 juta daripada 1MDB itu tidak berasas dan tidak profesional.

Sebelum ini Sarawak Report mendakwa pemimpin atasan Pas menerima RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pihak terbabit sebagai usaha untuk menarik kepimpinan parti Islam itu supaya menyokong BN dan UMNU. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast