Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 7 bulan maut dipercayai akibat diserang dan digigit sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok, Semporna, Sabah semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu semalam daripada bapa saudara mangsa pada 10.33 pagi.

“Polis turut membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan bedah siasat ke atas mangsa dijalankan hari ini di Jabatan Forensik Hospital Tawau,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Semporna akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan operasi anjing liar bagi menjamin keselamatan penduduk.

Mohd Sabri turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan video berkaitan insiden itu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Terdahulu tular video berdurasi 8 saat yang memaparkan seorang kanak-kanak terbaring akibat cedera dan terdapat kesan gigitan pada badan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast